"Ali, kemaskan bilik kamu, simpan semua mainan, lepas tu makan!" jerit ibu Ali dari dapur. Setengah jam kemudian, ibu keluar dari dapur dan dapati Ali masih tercegat di depan TV. "Dah kemas bilik tak?" jeritnya lagi. Di saat ini, Ali mengheret kakinya menuju bilik, ini menyebabkan ibu bertambah marah lalu mula berleter "Kamu ni kan......blah.....blah....blah...." Ibu berleter hampir lima belas minit.
Situasi seperti di atas ini menunjukkan keadaan yang biasanya terjadi dalam kebanyakkan keluarga, di mana ibubapa tidak mampu berkomunikasi secara berkesan dengan anak-anak. Komunikasi yang tidak berkesan mendatangkan pelbagai kesan negatif seperti perasaan-perasaan negatif, mewujudkan sifat saling tidak menghormati dan juga mengakibatkan kekecohan yang sebenarnya boleh dielakkan. Terdapat beberapa cara bagaimana anda boleh berkomunikasi dengan anak-anak untuk mendapat perhatian mereka agar mendengar serta memberi respon yang sepatutnya. Berikut adalah beberapa langkah yang boleh anda gunakan.
1. Kontak mata
Pastikan anda mendapat perhatian anak dengan melihat tepat ke dalam matanya. Jika perlu, anda boleh berlutut, pastikan mata anda sama paras dengan mata anak sebelum anda memulakan perbualan mahupun memberi arahan.
2. Ringkas
Gunakan ayat yang singkat dan ringkas. Terus kepada apa yang anda ingin anak lakukan. Gunakan satu ayat pada satu waktu. Terlalu banyak bercakap akan menyebabkan anak hilang perhatian. Apabila anak kelihatan tidak berminat, ini bermakna dia sudah tidak memberi perhatian, tidak mendengar dan tidak memahami apa yang anda katakan. Anak anda hanya memekakkan telinga. Contoh yang baik: "Ali, tolong simpan mainan." Jangan sesekali mengatakan "Ali, simpan semua mainan, mainan kamu ni semua menyerakkan rumah. Kamu suka tengok rumah macam ni?" Ayat kedua ini haruslah dielakkan sama sekali, kerana anak-anak memang gemar meletakkan mainan di mana-mana sahaja bagi memudahkan mereka bermain, maka jangan diajukan soalan sebegitu, kerana ia mengundang jawapan yang anda sendiri tidak mahu dengar!
3. Ulang permintaan anda
Cara terbaik untuk memastikan anak memahami permintaan anda adalah dengan memintanya mengulang permintaan yang telah anda nyatakan kepadanya. Contoh: "Apa yang kamu perlu buat Ali?" Dengan cara ini, anda lebih pasti bahawa anak anda tahu apa yang perlu dilakukan.
4. Gunakan pendekatan perlakuan - kesan
Kita tahu setiap perlakuan pastinya mendatangkan suatu kesan. Maka gunakan konsep ini sebaiknya. Minta anak anda lakukan apa yang anda ingin dia lakukan sebelum dia peroleh apa yang dia inginkan. Anda buat, anda dapat. Contohnya, anda boleh katakan "Simpan mainan kamu kemudian kamu boleh tengok cerita kartun kegemaran kamu." Pendekatan ini secara tidak langsung memaklumkan kepada anak bahawa anda mementingkan pematuhan, bahawa anak perlu patuh pada permintaan atau arahan sebelum mendapat apa yang diingininya. Walaubagaimanapun, hati-hati dalam menggunakkan pendekatan ini, elakkan ayat yang bermula dengan "Jika....." kerana ia umpama memberi pilihan untuk buat atau tidak.
5. Bercakaplah dengan hormat.
Apabila anda mengemukakan permintaan, mulakan dengan "Tolong....." dan jangan lupa untuk mengatakan "terima kasih...." setelah anak menyiapkan apa yang anda minta mereka lakukan. Kesantunan adalah suatu ciri-ciri yang mula terbentuk sejak awal lagi dan sekiranya anda ingin memupuk nilai ini dalam diri anak anda, anda perlu memulakannya terlebih dahulu. Anda perlulah menjadi apa yang anda ingin anak anda jadi. Kanak-kanak belajar dengan paling berkesan melalui konsep model, maka jadilah model yang terbaik untuk anda.
6. Bercakaplah mengikut peringkat perkembangan anak
Ini memerlukan anda mempunyai sedikit pemahaman tentang peringkat perkembangan anak anda. Walaubagaimanapun, satu panduan mudah yang boleh anda ikuti ialah, lebih kecil anak anda, lebih ringkas ayat yang harus anda gunakan.
7. Elakkan mengugut
Elak sebarang ugutan apabila bercakap dengan anak. Contoh: "Jika kamu tak kemas, ibu buang semua mainan kamu ni." Ugutan selalunya boleh memakan diri. Mengapa? Kerana anak-anak akan melihat sama ada anda benar-benar melakukan apa yang telah dikatakan. Jadi, apabila anda meluahkan ayat seperti di atas ini, adakah anda benar benar bersedia untuk membuang kesemua mainan anak dan membeli pula yang baru bila anak perlu bermain? Apabila anak lihat anda tidak pun melakukan apa yang telah anda katakan, anak akan kurang mempercayai anda. Anda akan sukar untuk dapatkan kerjasama daripada anak di masa depan kerana mereka sudah tidak mempercayai anda.
8. Beri makluman yang awal
Tip ini sangat berguna terutamanya apabila anda perlu meninggalkan taman permainan, taman, kolam renang atau mana-mana tempat di mana anak sedang seronok bermain atau beraktiviti. Berikan notis yang awal bahawa anda akan meninggalkan tempat tersebut tidak lama lagi. Contoh: "Ali, kita akan pulang dalam masa sepuluh minit lagi." Ini memberi peluang kepada anak bersedia untuk berhenti melakukan aktiviti tersebut dan tidak perlu berhenti secara mengejut yang selalunya mengakibatkan anak marah.
Jika anda amalkan tip-tip di atas dan menjadikan satu amalan di rumah, ianya akan membuat anak-anak mahu mendengar dan memberi kerjasama. Dengan apa jua cara dan kaedah, apa yang penting adalah anda mengamalnya secara berterusan di dalam semua situasi sehingga amalan ini menjadi sebahagian tabiat, dan dengan semulajadi anda akan bercakap dengan anak-anak menggunakan kaedah yang mampu membuat anak-anak mendengar dan memberi kerjasama. Ini seterusnya akan membentuk anak-anak menjadi individu yang berdisiplin. Selamat berkomunikasi dengan anak-anak anda!
Pre-Writing Development
2 weeks ago
No comments:
Post a Comment